Isnin, 4 Julai 2011

Seorang Muslim Akan Menutup Aib Saudaranya Yang Lain


Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah sentiasa menjaga kehormatan dan aib saudaranya. Segala kekurangan yang ada hendaklah ditutup dan jangan di ceritakkan kepada orang lain. Allah SWT akan memberi ganjaran yang besar dan akan menutup aibnya dihari akhirat kepada mereka yang mengelakkan diri daripada mengumpat dan menceritakan keaiban saudaranya kepada orang lain semata-mata untuk menjaga maruah diri saudara seagama.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba menutupi aurat  (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi auratnya ( aibnya ) di akhirat "
(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya  : "Muslim ( orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan ), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat.
(Hadis Riwayat Muslim).

Dari Ibnu Umar radhiyallahu 'anhu ia berkata : Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat ( aib ) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya.
(Hadis Riwayat Tirmidzi).

Sahabat yang dimuliakan,
Allah 'Azza wa Jalla cinta untuk menutupi aib makhluk-Nya, dan memerintahkannya (menutupi aib orang lain ), oleh kerana itu Allah mengharamkan tindakan mata-mata (mencari-cari) dan melarangnya, dan Rasulullah SAW telah memberitahukan bahawa siapa saja yang menutupi aib seseorang, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat, dan melarang mencari-cari aib kaum muslimin dan tindakan memata-matai (mencari-cari) mereka tentang pekerjaan yang mereka sembunyikan.

Sekarang ini sudah menjadi satu trend bahawa seorang begitu mudah untuk menabur fitnah dan mendedahkan aib seseorang yang menjadi musuhnya samaada artis sesama artis, ahli politik sesama ahli politik, usahawan sesama usahawan dan pemimpin pertubuhan sesama pemimpin pertubuhan yang lain. Hari-hari dada akhbar arus perdana mendedahkan pertelingkahan , perbalahan, tuduh menuduh di antara kumpulan-kumpulan tertentu yang bermusuhan saling mencari kelemahan dan kesalahan lalu mendedahkannya tanpa menyiasat sahih atau tidaknya suatu berita itu. Trend yang biasa dibuat adalah membuat lapuran polis, membayangkan seolah-olah apa yang mereka lakukan adalah mempunyai bukti dan kebenaran.

Hakikat sebenarnya perbuatan mereka adalah amat bertentangan dengan ciri-ciri akhlak Islam kerana banyak kes di dapati isu-isu yang dibawa hanyalah propaganda kosong yang hanya menambahkan kebencian, permusuhan dan perpecahan dikalangan umat Islam.

Di dalam Islam terdapat kaedah untuk menyelesaikan sesuatau perbezaan pendapat iaitu dengan berbincang dan bermuzakarah secara baik dan sopan mengikut lunas-lunas ajaran Islam.

Firman Allah SWT maksudnya : "Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya) , jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisa' ayat 59).

Jika umat Islam tidak kira mereka daripada kumpulan mana , kembali kepada ajaran Islam sebenarnya dan menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai penduan dan ikutan maka umat Islam akan bersatu dan  ukhuwah Islamiah dapat dibina dan ikatan silaturahim dapat disambung semula.

Tidak ada untungnya seseorang mempertahankan pendapatnya yang mungkin betul atau salah, sedangkan melahirkan perpecahan, perbalahan dan memutuskan silaturahim adalah haram dan berdosa besar.

"Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Hadis Riwayat Muslim)

"Dari Abi Hurairah r.a dari Rasulullah SAW  bersabda seorang muslim adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka".
(Hadis Riwayat Nasaie)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita buangkan sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati kita iaitu sifat suka membuat fitnah, mengumpat, mendedahkan aib , menghina dan menjatuhkan maruah seseorang. Sayangkanlah segala amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan yang kita telah lakukan sejak akil baligh hingga sekarang supaya ianya tidak terhapus begitu saja  disebabkan kita melayan suasana masyarakat yang suka buat fitnah dan mendedahkan aib seseorang dan kita berada bersama-sama kumpulan tersebut.

Ingatlah ketika kita berada dimahkamah keadilan Allah di hari akhirat nanti, ketika itu tidak ada wang ringgit yang akan digunakan untuk menebus dosa-dosa kita, yang akan kita jadikan cagaran adalah amal ibadah dan amal soleh yang kita kerjakan ketika di dunia. Jika amalan kebaikan dan pahala kita terlalu sedikit bagaimana kita nak tebus dosa-dosa kita yang banyak dan bertambah setiap hari?

Oleh itu marilah kita banyakkan beristighfar kepada Allah SWT dan memohon maaf kepada sesiapa saja yang kita telah dedahkan aibnya , mengumpat dan menaburkan fitnah. Hanya inilah saja dapat menyelamatkan diri kita daripada menjadi muflis dihari akhirat nanti.

Adab adab dalam Islam


Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap amalan dalam Islam terdapat beberapa peraturan dan adab-adab yang perlu dipatuhi untuk menyempurnakan amalan tersebut. Tanpa dipatuhi adab-adab yang telah digariskan Islam menjadikan amalan tersebut cacat dan tidak sempurna. Oleh itu untuk menjadikan ibadah dan amalan harian kita sempurna maka perlulah mematuhi beberapa adab-adab yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.

Adab-adab tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Adab menghadiri majlis Ilmu.

Daripada Abu Waqid al-Laitsi r.a berkata, "Rasulullah s.a.w. sedang duduk di masjid bersama orang ramai ketika menyampaikan ceramahnya, tiba-tiba datang tiga orang lelaki. Dua daripada mereka mendatangi Nabi s.a.w., sedang yang seorang lagi terus pergi begitu saja. Seorang daripada mereka mencari-cari ruang yang kosong dalam majlis itu, lalu dia duduk di situ. Dan yang seorang lagi terus duduk di belakang.

Setelah Rasulullah s.a.w. selesai memberikan pengajian, Baginda bersabda yang bermaksud, 'Perhatikanlah, kuberitahukan kepada anda sekalian tentang orang yang bertiga itu. Seorang antaranya mencari tempat di sisi Allah, maka Allah melapangkan tempat baginya. Orang kedua malu-malu maka Allah malu pula padanya. Dan orang yang ketiga jelas berpaling , maka Allah berpaling pula daripadanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengajaran yang boleh di ambil :

1.Seorang alim yang menyampaikan kuliahnya hendaklah duduk di tengah-tengah murid-muridnya di tempat yang boleh di lihat dengan jelas oleh semua orang.

 2.Disunatkan duduk dalam masjid untuk muzakarah yang membincangkan tentang ilmu.

 3.Disunatkan membentuk halakah dalam majlis ilmu dan zikir.

 4.Makruh keluar dari dalam masjid ketika sedang berlangsungnya ceramah tanpa alasan yang munasabah.

 5.Disunatkan mendekati orang yang berilmu dalam halakah agar dapat mendengar penerangannya dengan jelas.

 6.Seorang yang ingin bergabung dalam halakah jika melihat ada tempat yang renggang hendaklah ia duduk di tempat tersebut, bukan di belakang para jemaah.

 7.Harus memberi pujian kepada sesaorang yang membuat kebaikan.

 8.Harus menceritakan tentang keburukan yang di lakukan oleh sesaorang secara terang-terangan.

 9.Orang yang terlebih dahulu menduduki suatu tempat dalam majlis ilmu maka jika ia kembali ia lebih berhak untuk duduk di tempat tersebut.

 10.Kita hendaklah mengisi kawasan yang renggang dengan penuh adab tanpa menganggu para hadirin yang sedia ada.

 11.Hendaklah duduk tetap di suatu tempat sehingga selesai pengajian atau ceramah melainkan jika ada keuzuran.

Kedua : Adab makan dan minum.

1. Sebelum makan dan minum hendaklah memulakan dengan membaca basmallah.  
Basmallah adalah sebutan atau nama singkat dari lafaz "BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM" yang bermaksud "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

2. Membaca do'a makan : "Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar."
(Ya Allah, berkahilah rezeki yang Engkau rezekikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa Neraka.)

3. Mulakan makan dengan tangan kanan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :
"Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya."
 (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Ketiga  : Adab-adab tidur.

Tidur seorang hamba pada waktu malam setelah segala aktivitas yang dilakukannya pada siang hari, akan membantu tubuhnya menjadi segar untuk bisa melakukan aktivitas pada esok hari, juga akan membantu tubuhnya lebih bersemangat untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Maka dengan nikmat yang besar ini hendaknya seorang Muslim bersemangat untuk menjaga tuntunan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam masalah adab-adab yang berkaitan dengan tidur.

Perlu di ingatkan bahawa hati perlu berniat untuk bangun awal untuk melaksanakan tahajjud dan solat Subuh berjemaah supaya dengan niat yang baik ini seluruh masa tidur kita akan mendapat pahala di sisi Allah s.w.t. 

Di antara adab-adab tersebut adalah seperti berikut : 

1. Tidak mengakhirkan tidur setelah melakukan solat Isya kecuali kerana perkara yang penting untuk dilakukan seperti mempelajari ilmu atau menjamu tamu atau untuk melayani keluarga. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Barzah bahwasanya Nabi s.a.w. tidak menyukai tidur sebelum solat Isya dan berbincang-bincang setelahnya.

2. Tidur dengan berwudhu' terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w : “Apabila kamu hendak tidur maka berwudhulah sebagaimana wudhu' untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Memulai tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan sebagaimana dalam hadis di atas.

4. Tidak tidur dengan tengkurap, berdasarkan sabda Nabi s.a.w, “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”.
(Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih)

5. Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya sebanyak tiga kali.
(Hadis Riwayat Bukhari).

7. Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah, seperti membaca do’a “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Dianjurkan membaca tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali atau 34 kali ketika hendak tidur, sebagaimana sabda Nabi s.a.w  kepada Ali bin Abi Thalib dan istrinya ketika mereka hendak tidur, “Maka bacalah tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, dan takbir tiga puluh tiga kali” dan dalam riwayat lain “takbirlah tiga puluh empat kali”
(Hadis Riwayat Bukhari).

9. Dianjurkan juga membaca ayat kursi, membaca dua ayat terakhir surat Al-Baqarah atau membaca surat Ali ‘Imran ayat 190-200.
(Hadis Riwayat Bukhari).

10. Apabila tiba-tiba terbangun di tengah malam, maka dianjurkan meminta kepada Allah s.w.t. kerana saat itu adalah saat yang mustajab, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. “Tidaklah seorang Muslim yang tidur dalam keadaan suci dan berzikir lalu tiba-tiba terbangun di malam hari kemudian mohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat kecuali Allah akan mengabulkannya”
(Hadis Riwayat Abu Dawud).

11. "Ketika bermimpi buruk hendaknya berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk dan dari keburukan yang dilihat dalam mimpi. "
(Hadis Riwayat Muslim).

12. Ketika bangun tidur hendaknya membaca doa, “Alhamdulillahil ladzi ahyaana ba’da maa amaatanaa wa ilaihin nusyuur (Segala puji bagi Allah yang telah membangkitkan kami dari mati (tidur) dan hanya kepada-Nya semuanya kembali)”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Demikianlah beberapa adab tidur yang dituntunkan oleh Nabi kita Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk senantiasa mengamalkannya, mengikuti sunnah Nabi-Nya sehingga tidur kita tidak sekedar rutin harian untuk pemenuhan keperluan jasmani, namun juga merupakan kenikmatan yang bernilai ibadah dan membuahkan pahala di sisi Allah.

Keempat : Adab-adab memasuki rumah.

1. Memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud ;
"Apabila kamu memasuki rumah-rumah, maka hendaklah kamu memberi salam kepada sesama kamu, sebagai penghormatan yang berkat, lagi baik disisi Allah".
(Surah An-Nur ayat 61).

2. Ketika kembali dari berpergian dan hendak masuk ke rumah, disunnahkan untuk berdoa:

"Allahuma inni as aluka khoiral muulaji wa khoiral mukhroji bismillahi walajnaa wa bismillahi khorojnaa wa alalloohi rabbina tawakkalnaa"

 Artinya: “Ya Allah, aku minta kepadaMu baiknya rumah yang ku masuki dan rumah yang ku tinggalkan. Dengan nama Allah kami masuk rumah, dengan nama Allah aku keluar rumah, serta kepada-Nya aku berserah diri. ”

Ketika masuk ke rumah hendaknya mendahulukan kaki kanan dan mengucapkan salam kepada keluarga yang berada di rumah.
 
3. Membaca Ayat Al-Kursi semasa didalam rumah bagi tujuan menghalau syaitan

 Diriwayatkan dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah saw bersabda :’Didalam surah Al-Baqarah ada ayat yang merupakan penghulu Al-Quran, Tidak dibaca didalamrumah, kecuali akan keluar Syaitan dari [rumah]nya : Ayat Al-Kursi "
(Hadis  Riwayat dari Zaa’idah dari Hakim ibn Jubayr)

4. Membaca beberapa do’a yang disunatkan membacanya.

(‘Auzdhu bi kalimaat-Illaah it-taammaati min sharri ma khalaq.)

“Aku memnohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk-Nya”

Kelima : Adab-adab keluar rumah.
1. Membaca do'a bila hendak keluar daripada rumah.

"Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah"

 Artinya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” 
(Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzy dan Nasai)

Doa lain yang diajarkan Rasulullah s.a.w iaitu:

 "Allahumma innii a’uudzubika an adlilla au udlalla, au azilla au uzalla, au azhlima au uzhlama, au ajhala au yujhala ‘alayya:

Artinya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari menyesatkan atau disesatkan; dari menggelincirkan atau digelincirkan; dari menganiaya atau dianiaya; dari membodohi atau saya dibodohi (orang lain) 
(Hadis Riwayat  Abu Daud dan Tirmidzy)

2. Sunnah berikutnya adalah mendahulukan kaki kiri ketika keluar rumah, serta memberi salam kepada keluarga. Sebelum keluar rumah hendaknya menentukan niat dan tujuan, serta memastikan barang bawaan tidak ada yang tertinggal.

3. Kaum perempuan yang hendak keluar rumah harus memperhatikan hal-hal berikut: tidak diperkenankan memakai wangi-wangian, menutup aurat dengan sempurna. Selain itu, haram bagi wanita berpergian tanpa izin orangtua atau suami dan dilarang berpergian sampai tiga hari tanpa disertai mahramnya.

Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri ra katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : “Haram bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat musafir, di mana perjalanannya melebihi dari tiga hari melainkan bersama ayah, anak lelaki, suami, saudara lelaki atau siapa sahaja mahramnya yang lain.” 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)