Selasa, 5 Julai 2011

HARAM MEMUTUSKAN SILATURRAHIM


Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi muslim yang beriman dan beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.

Kesempurnaan iman seseorang bukan setakat beriman kepada Allah Subahanahu Wata'ala dan hari akhirat, bahkan menghubungkan silaturahim sesama manusia juga menjadi pengukur terhadap kesempurnaan iman seseorang. Islam amat menuntut umatnya untuk menjaga hubungan silaturahim, kerana memutuskan silaturahim itu amat besar risikonya (akibatnya) bukan setakat di dunia sahaja bahkan juga di akhirat kelak.

Pada kelazimannya, terputusnya hubungan silaturahim adalah berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan yang disebabkan oleh harta benda, harta pusaka, hutang-piutang, hasutan, fitnah, sifat sombong dan mementingkan diri sendiri. Di samping itu, perkelahian antara anak-beranak, adik-beradik atau jiran tetangga juga boleh menyebabkan terputusnya ikatan silaturahim, di mana kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran dan tidak bersikap terbuka dan tidak mahu bertolak-ansur serta tidak mahu mengalah untuk memohon kemaafan. Permusuhan dan pergisiran seperti ini boleh berpanjangan jika tidak ada kesedaran diri atau tidak ada orang lain yang mahu meleraikan atau mendamaikan mereka yang bermusuhan.

Perlu diingat bahawa tanggungjawab untuk membina semula silaturahim yang terputus, bukan terletak kepada pihak yang bermusuhan sahaja, tetapi sanak saudara atau kawan-kawan juga memainkan peranan penting selaku orang tengah dalam mendamaikan dan menyambungkan semula silaturahim yang terputus. Selain itu, jika ada pertelingkahan di antara keluarga tentang pembahagian harta yang tidak dapat diselamatkan, eloklah meminta nasihat dan pandangan kepada pihak yang bertanggungjawab.

Oleh otu binalah ikatan silaturahim sesama insan dalam apa jua keadaan, mungkin dalam suasana hari raya merupakan kesempatan yang baik untuk memulakan hubungan yang baik, tetapi menunggu hari raya mungkin mengambil masa yang lama, maka carilah waktu yang sesuai dengan penuh bijaksana untuk memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya mengeratkan silaturahim sesama saudara hukumnya wajib sebagaimana perintah Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah An-Nisa ayat 1 tafsirnya:

"....dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan silaturahim kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu".

Manakala memutuskan hubungan silaturahim pula hukumnya adalah haram dan termasuk orang yang melakukan maksiat dan dosa besar sehingga mendapat laknat dari Allah Subahanahu Wata'ala, sebagaimana firman-Nya dalam surah Muhammad ayat 22-23 tafsirnya:

"Kalau kamu tidak mematuhi perintah, maka tidakkah kamu harus dibimbing dan dikhuatirkan, jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakkan di muka bumi, dan memutuskan silaturahim dengan kaum kerabat? Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya".

Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam menyatakan bahawa orang yang memutuskan silaturahim tidak akan masuk syurga, sebagaimana sabda baginda Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:

"Dari Al-Zuhri, bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan kekeluargaan" (Riwayat Al-Imam Muslim)

Sebagai umat Islam, kita tidak dilarang untuk berbuat baik kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Mumtahanah ayat 8 tafsirnya:

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Menurut Ibni Abu Hurairah bahawa orang yang mengeratkan silaturahim akan mendapat sepuluh kelebihan seperti berikut:

Pertama: Allah Subahanahu Wata'ala redha kepadanya.
Kedua: Membawa kebahagiaan.
Ketiga: Para malaikat gembira kepadanya.
Keempat: Mendapat pujian yang baik daripada orang.
Kelima: Menambah kesedihan iblis.
Keenam: Dipanjangkan umur.
Ketujuh: Memperoleh keberkatan rezeki.
Kelapan: Orang yang meninggal dunia mendapat kebahagian kerana keturunannya gembira dengan eratnya silaturahim itu.
Kesembilan: Semakin bertambah kehormatannya.
Kesepuluh: Pahalanya semakin bertambah selepas matinya kerana orang-orang mendoakannya setiap kali disebut kebaikkannya.

Oleh yang demikian, eratkanlah hubungan silaturahim bagi mencapai kelebihan tersebut dan jauhilah dari perkara yang boleh memutuskannya. Tanganilah masalah keluarga dengan bijaksana dan eratkanlah semula perhubungan yang retak dengan rasa kesedaran dan keinsafan.

Saudara kaum muslimin, marilah kita bersama-sama berusaha untuk menjaga dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Jika berlaku perselisihan, maka berusahalah untuk mencari jalan penyelesaian dan perdamaian kerana semua orang mukmin adalah bersaudara. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dalam naungan dan mendapat rahmat Allah Subahanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Suratul Hujurats ayat 10 tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudara kamu yang bertelingkah itu"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan